Bantinkoll1 1683535970

Tingkatkan liputan internet, telekomunikasi di lokasi pelancongan

Banting: Syarikat telekomunikasi diminta menambah baik liputan internet dan telekomunikasi di kawasan pelancongan yang berdepan masalah itu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, langkah ini perlu diambil untuk memenuhi harapan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti.

"Ada kawasan pelancongan, di tempat-tempat tertentu yang berdepan masalah liputan Internet dan telekomunikasi.

"Mereka (pelancong) sudah bayar pakej tertentu kepada syarikat telco dan sepatutnya dapat menikmati perkhidmatan yang diharapkan di mana sahaja.

"Kita ingin tegaskan bahawa, syarikat telco tidak boleh 'business as usual' (tidak boleh menjalankan perniagaan seperti biasa). ," katanya selepas menghadiri sesi ramah mesra Kembara Media 2023 di Gamuda Cove di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Mengulas lanjut, pihak kerajaan sentiasa berusaha memperjuangkan isu berkenaan untuk memenuhi harapan rakyat.

"Pihak kementerian sedang berusaha menyelesaikan masalah ini melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia

" InsyaAllah pada hari ini saya akan bertemu dengan semua CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) syarikat telco," katanya.

Beliau berkata, menerusi laporan media berkenaan liputan Internet dan komunikasi dapat memberi kesedaran kepada pihak penyedia telekomunikasi.

Seramai 22 pengamal media menyertai program Kembara Media 2023 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia selama empat hari bermula hari ini.

Sepanjang program ini, media akan dibawa ke beberapa lokasi tarikan pelancongan di Selangor dan Negeri Sembilan.