Kuala Langat: Taman Tema Air SplashMania di Gamuda Cove meletakkan jangkaan menerima purata 3,500 pengunjung sehari sehingga akhir tahun ini.
Pengurus Besar, Leisure & Hospitality, Gamuda Land, Sanjay Nadarajah berkata, angka berkenaan mungkin berubah khususnya pada cuti umum.
"Kami jangka menerima purata kunjungan antara 3,000 hingga 3,500 setiap hari namun, angka berkenaan mungkin berbeza bergantung kepada hari biasa atau pada hujung minggu
"Namun, kami positif mencapai angka berkenaan sehingga akhir tahun ini," katanya pada majlis pelancaran kempen Splashy Raya di sini, semalam.
Menurutnya, sejak dibuka pada 6 Februari lalu, taman tema berkenaan mencatatkan purata 2,500 kunjungan sehari.
"Walaupun pada hari biasa, kami menerima hingga 800 pengunjung sehari dan angka meningkat kepada 1,500 sehari pada hujung minggu.
"Malah, pada Ramadan ini kami mencatatkan jumlah kunjungan memberangsangkan khususnya dari pelajar beberapa kolej dan sekolah antarabangsa berhampiran yang sedang bercuti," katanya.
Taman tema air dibina Gamuda Land di Gamuda Cove yang mempunyai keluasan 7.28 hektar.
Ia menawarkan 39 tarikan termasuk 24 permainan gelungsur air yang pelbagai.
Sementara itu, menurutnya kempen Splashy Raya berlangsung dari 22 April hingga 1 Mei menawarkan pelbagai persembahan dan aktiviti sempena Aidilfitri.
Terdapat empat slot persembahan disediakan setiap hari di lokasi berbeza sekitar taman tema itu dari jam 10 pagi hingga 6 petang.