KUALA LANGAT, 2 JULAI: Dato’ Menteri Besar merasmi tarikan terbaharu yang dilengkapi pusat komersial, Taman Tema Air SplashMania di Gamuda Cove di sini hari ini.
Ketibaan Dato’ Seri Amirudin Shari kira-kira jam 11.50 pagi menaiki e-tram diiringi Pengerusi Gamuda Berhad Tan Sri Ambrin Buang dan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad Dato’ Lin Yun Ling.
“Ini adalah keseimbangan yang kita mahu di selatan Selangor dan permulaan baik untuk pembangunan.
“Ia sekaligus mampu memberi lonjakan ekonomi, penambahan pendapatan, peluang pekerjaan dan pelaburan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan taman tema air itu.
Sementara itu, Ambrin ketika berucap berkata sejak dilancar pada Februari lalu, taman tema air ini menerima 75,000 pelawat setiap bulan.
“Taman tema air ini mengalu-alukan kehadiran orang ramai dan ia disokong perkembangan positif industri pelancongan domestik dan serantau.
“Dengan pelancaran hari ini menandakan taman tema air ini beroperasi pada kapasiti penuh dan merupakan satu-satunya di Malaysia yang menawarkan gelongsor realiti maya,” katanya.
Taman Tema Air Splash Mania berkeluasan 6.47 hektar dibina oleh Gamuda Land mula dibuka kepada orang ramai sejak Februari lalu menawarkan 39 permainan tarikan termasuk 24 permainan gelongsor.