Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari hari ini (2 Julai) merasmikan Taman Tema Air SplashMania di Bandar Gamuda Cove.
Taman tema yang merupakan terbesar di Asia dengan keluasan 18 ekar bakal menjadi salah satu destinasi pelancongan baru di negeri Selangor
Menurut Amiruddin, kewujudan taman tema milik Gamuda Land ini sedikit sebanyak membantu memperkenal dan menjadikan selatan Selangor sebagai salah satu lokasi tarikan yang menarik di negeri ini.
Malah ia juga sebagai salah satu usaha kerajaan negeri dalam membangunkan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) sebagai sebahagian daripada Rancangan Selangor Pertama.
“Kedua-dua pembangunan ini menggalakkan pertumbuhan di bahagian utara dan selatan Lembah Klang. Dengan pelaburan syarikat dalam infrastruktur yang lebih mampan, ia telah memberi nafas baharu kepada persekitaran tempatan serta menjadi asas yang kukuh untuk pelaburan masa hadapan,” katanya.
Pada masa yang sama, menurut Pengerusi Gamuda Berhad Tan Sri Ambrin Buang, sejak pembukaan awal SplashMania pada Februari yang lalu, lebih 75,000 pengunjung telah hadir ke taman tema ini.
Baginya, kejayaan ini merupakan hasil kerjasama dengan semua pihak dalam menjayakan tarikan terbaru ekopelancongan serta mencipta peluang pekerjaan buat masyarakat setempat.
“Projek pembinaan dan pembangunan kami tidak hanya mengubah landskap fizikal negara, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mencipta peluang pekerjaan. Dengan melabur dalam infrastruktur terkini, memperkasakan komuniti, membina ruang inovatif untuk perniagaan dan rekreasi, kami telah mencipta ekosistem yang dapat memacu pertumbuhan pekerjaan serta kemakmuran ekonomi,” kata beliau.
SplashMania dijangka akan menarik 800,000 pelancong tempatan dan antarabangsa pada setiap tahun.